Sedar atau tidak sepanjang hidup kita, pelbagai cabaran yang harus di tempuhi untuk berjaya, begitu juga dengan perjalanan seseorang dalam mengekalkan gaya hidup sihat dan menurunkan berat badan. Cabaran yang dilalui terlampau hebat sehingga boleh melumpuhkan usaha kita berjaya. Mengikut pengalaman saya, misi menurunkan berat adalah satu misi hidup yang sangat berat dan cabaran yang paling hebat adalah dari faktor persekitaran dan budaya termasuk orang yang hidup disekeliling kita ditambah lagi dengan dorongan hawa nafsu yang sentiasa bermain dalam otak yang melawan misi baik kita. lagi- lagi pada mereka yang sibuk bekerja seharian.

Baca : 5 Tips Menurunkan Berat Badan Untuk Mereka yang Sibuk Bekerja

SINDROM 1 : BOLEH KE…….

Antara penyakit orang kita yang selalu saya dengar adalah penyakit “boleh ke…..” keinginan untuk tahu sesuatu fakta ataupun suatu perkara adalah sangat bagus kerana ia adalah salah satu cara untuk kita mendapatkan maklumat dan memprosesnya. Penyakit “Boleh ke….” Yang saya cuba sampaikan di sini adalah simpton soalan untuk mencari alasan contohnya…

“Boleh ke kalau aku kurus dalam masa……?

“Boleh ke buat sit up sahaja untuk dapat 6 pack………”

“Boleh ke kurus kalau makan oat? ……….”

Situasi di atas adalah sangat tidak salah, yang tak berapa manisnya apabila terlampau banyak “boleh ke…” dan akhirnya melumpuhkan proses menukang sebuah rumah diet yang kita bina. Sedar atau tidak, apabila kita sentiasa mencipta momen “boleh ke…” sebenarnya kita cuba mencari dan mencipta  alasan untuk tidak membuat sesuatu perkara kerana kita akan rasa… “huh, baik aku tak payah buat… nanti, mesti…(.bla, bla, bla.) yang mana saat itu adalah saat kita mencipta impak negatif dalam fikiran kita dan membuatkan kita rasa senang hati dengan alasan tersebut walaupun sebenarnya ia adalah dorongan hawa nafsu semata-mata yang cuba menghentikan aktiviti baik kita dan waktu ini juga kita telah kalah dengan FAKE IMPACT atau IMPAK PALSU yang kita reka sendiri, anda pernah rasa begitu? Dan akhirnya alasan demi alasan dicipta, hari demi hari misi ditangguh sehinggalah muncul 31 Disember hari terakhir setiap tahun . Oh tak mengapa! Esok 1 januari, boleh buat New Year Resolution baru…maka, setiap 1 januari setiap tahun, wujudlah misi dan visi baru yang ditulis, dan paling popular adalah yang di Carry Forward dari tahun lepas, iaitu MISI MENURUNKAN BERAT BADAN. Betul atau tidak? Adakah Anda tergolong dalam golongan ini? Tepuk dada tanya selera. Tetapi tidak mengapa, sekurang-kurangnya pada 1 Januari masih ada kesedaran tentang peri pentingnya menjaga kesihatan, setuju? Satu tepukan untuk anda 😊

Terkesan dengan kata-kata Napoleon Hill, seorang penulis buku yang hebat dan popular sejak tahun 1937 dengan bukunya Think and Grow Rich berkata “Don’t wait. The time will never just right” Maka, cadangan saya.. kurangkan momen “boleh ke…” yang akhirnya mencipta 1001 alasan yang memusnahkan target anda, sebaliknya cuba tukar momen “Boleh ke.. dengan “JUST DO!”. Kata Amelia Earhart “The most effective way to do it, is to do it” kalau diteliti ada betulnya kata Amelia yang merupakan wanita Amerika pertama yang terbang secara solo melintasi lautan atlantik itu. jadi untuk anda semua, Jangan terlampau fikir itu dan ini yang akhirnya memberatkan kepala kita. Tukarkan sesuatu yang kompleks kepada yang lebih ringkas, kerana hidup ini sangat mudah. Amalkan konsep JUST DO! apabila kita mengamalkan konsep “JUST DO!” kita akan belajar melalui proses yang kita lalui, kerana percayalah PENGALAMAN ADALAH GURU TERBAIK.

SINDROM 2 : AKU DAH CUBA TAPI……

Sindrom “AKu dah cuba.. Tapi……” sangat kerap kita dengar, ada saja soalan yang datang bertanya tentang tips untuk menurunkan berat badan, tips untuk 6 pack dan sebagainya, tetapi hampir semua soalan pasti bermula dengan ungkapan di atas “aku dah cuba tapi…..” contohnya,

“Aku dah cuba jaga makan dan kurangkan gula, TAPI aku tak leh tinggalkan coklat, wajib kene makan hari-hari”

“Aku dah cuba lari 5km, TAPI penat dan semput, so aku dh stop lari, ada cara  tak nak kekal fit dan maintain stamina?”

“Aku dah cuba diet seminggu, TAPI berat tak turun pun “  lantas kembali kepada gaya hidup lama.

Dan bersusunlah soalan-soalan tersebut sehingga penuh muka surat ini. Situasi diatas hanya mengambil beberapa contoh yang sering kita dengar, rasa penat nak menjawab, tetapi saya percaya setiap coach atau pun jurulatih kesihatan tetap menjawabnya walaupun jawapanya jelas dalam pertanyaan itu. 😊

Penceramah motivasi terkenal dari Amerika Syarikat, Emanuel James atau lebih di kenali sebagai Jim Rohn (1930-2009) pernah berkata “If you really want to do something, you’ll find a way. If you don’t, you’ll  find an excuse”. Benar, jika dilihat latar belakang orang-orang yang berjaya dalam hidup seperti Dato’ Seri Vida (DSV)  pengasas Vida beauty yang kini telah melebarkan sayapnya bukan sahaja sebagai jutawan kosmetik tetapi kini sudah bergelar penyanyi apabila melancarkan single pertama karya Edry Abd Halim pada Pertengahan Julai 2017 yang lalu. DSV tidak pernah mengendahkan segala kecaman dan kritikan Haters-Haters di media sosial sebaliknya terus berkeras dengan apa yang di ingininya dan merealisasikan impian nya. Hebat bukan? Itu lah kuasa yang ada pada minda yang percaya pada ungkapan JUST DO! Dan Mengelakan dari sebarang ALASAN. Akhirnya lebih Satu (1)  juta tontonan di You Tube pada dua (2) minggu pertama dan menjadi tular di kalangan masyarakat termasuk di negara jiran.

Tidak cukup dengan itu, cuba kita soroti kisah – kisah individu yang sangat menjadi inspirasi dalam menurunkan berat badan, antaranya Izzat Zin yang berjaya menurunkan lebih 60kg dan kini bergelar seorang Model dan jurulatih Zumba yang sangat popular di Johor Bahru bahkan mendapat banyak undangan di sekitar lembah klang, tidak di lupa kisah-kisah kejayaan individu-individu yang bermula dengan langkah menyertai program Jom Kurus hasil cetusan idea jurulatih kesihatan popular Kevin Zahri, kita perlu percaya mereka semua sangat berdisiplin dan istiqamah dalam perjalanan menurunkan berat badan mereka, mencari alasan adalah HARAM dalam perjalanan hidup mereka.

Ini kisah hebat yang boleh kita jadikan iktibar dalam hidup kita semua,kalau mahu berjaya untuk menurunkan berat badan khususnya jangan ada sikap mencari alasan. Cuba kurangkan “aku dah cuba.. TAPI……”

KERANA DI SAAT KITA MENGUNGKAP PERKATAAN “TAPI” ITU, SAAT ITULAH IA TELAH MEMBUNUH SECARA SENYAP PERJALANAN KEJAYAAN YANG KITA INGINKAN.

SiNDROM 3 : APA  JADI KALAU AKU…….

Sekadar memetik beberapa situasi “Apa jadi kalau aku……” contohnya

“Kalau aku lari, kalau sakit lutut macam mana?.”

“Apa jadi kalau aku pergi gym lepas tu satu badan sakit?. “

“Apa jadi kalau aku berlari pastu tak turun berat?.”

Situasi di atas sebenarnya, situasi seseorang yang sangat takut akan risiko yang terjadi. Rasa yang tersangat bimbang ini sebenarnya bagus juga ada kalanya, tetapi dalam situasi seseorang yang sedang cuba menurunkan berat badan, ungkapan-ungkapan diatas sebenarnya sudah menyihir kepercayaan kita terhadap sesuatu usaha sehingga menoktahkan misi kita tersebut.

Sedar atau tidak, setiap detik dalam hidup ini pasti ada risiko, hatta ketika kita duduk santai berehat pun, risiko apa sahaja kecelakaan pasti ada. Jadi kenapa takut untuk mengambil risiko? Lagi-lagi risiko ketika bersenam, tidak dapat dinafikan memang akan ada risiko kalau kita bersenam atau melakukan apa sahaja aktiviti, sebab itu kita di sarankan untuk terus belajar dan menuntut ilmu supaya setiap pergerakan kita dan apa yang kita lakukan itu risikonya kurang atau kita belajar macam mana hendak mengelak dari risiko. Contohnya, sukan larian, risikonya pasti terhadap lutut dan sendi-sendi kaki bukan? Maka untuk mengurangkan risiko kita harus tahu bagaimana memilih kasut yang betul , belajar cara lari yang betul dan sebagainya, insyaallah kita akan bertambah sihat tanpa memikirkan risiko yang akan berlaku.

Baca : Tips Pemilihan Kasut Sukan 

Masalahnya, masih ramai lagi diluar sana yang sentiasa takut dengan risiko, lantas timbulah persoalan dan penyakit “apa jadi kalau aku …….” atau “What happened If……”, tak buat lagi dah fikir kesan negative atau macam yang di kupas di atas ini dinamakan momen mencipta FAKE IMPACT atau IMPAK PALSU tanpa sedar. Sedar atau tidak  semua ini adalah disebabkan oleh  kita cuba untuk mencari alasan untuk tidak meneruskan perkara itu dan menyedapkan hati kita. Akhirnya harapan tinggal harapan sehingga terkuburlah harapan tersebut. Ingat! Dunia ini tidak ada magis seperti kisah dongeng Cinderella, mintak sahaja terus dapat, hatta Cinderella pun melalui kisah tragis sebelum datangnya pari-pari dan akhirnya dapat berkahwin dengan putera raja. Kita? Masih mengharap magis datang dan buang lemak dalam badan kita?  Tepuk dada tanya selera. 😊

Baca : Perangkap 4 Mitos “Nak Kurus” dalam masyarakat

PENUTUP

Amy Poehler, seorang pelakon, pelawak, pengarah dan penerbit yang hebat dari benua Amerika pernah menitipkan “Great People DO THINGS before they’re ready”, ungkapan ini ada benarnya, jika diperhatikan, ini adalah antara resepi popular orang yang berjaya diseluruh dunia Jauh sekali mencari alasan dalam hidup. Mungkin alasan yang dicari hanyalah alasan untuk terus berjaya.  Kita perlu percaya untuk berjaya ikutlah resepi orang berjaya.

Begitulah tiga (3) sindrom yang selalu terjadi dikalangan kita, Kupasan tiga sindrom diatas hanyalah  berdasarkan pemerhatian penulis sahaja, tidak ada kena mengena dengan sesiapa, kalau terasa maaf di mohon dan di pinta, di akhirnya. Sudahkah kita bersedia? Ayuh teruskan misi kita untuk terus hidup secara sihat. Kerana Sihat Untuk Semua, dan sihat itu dimana sahaja 😊

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here